Ramai ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke pengasuh disebabkan tuntutan kerja. Sebelum hantar, mesti ramai yang dah buat semakan latar belakang tersendiri untuk pastikan anak sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Baru-baru ini, pihak polis telah menahan lima individu termasuk suspek utama seorang remaja perempuan yang baru sahaja berusia 14 tahun kerana menculik seorang bayi berusia sembilan bulan di Bukit Tengah, Pulau Pinang.
Bawa lari ketika nenek sedang menunaikan solat
Menurut Harian Metro, lima individu yang berusia dari 14 hingga ke 43 tahun ini telah ditahan dalam serbuan di dua lokasi di sebuah pondok di Machang Bubok dan sebuah rumah di Kulim.
ᴋᴇᴛᴜᴀ ᴘᴏʟɪꜱ ᴅᴀᴇʀᴀʜ ꜱᴇʙᴇʀᴀɴɢ ᴘᴇʀᴀɪ ᴛᴇɴɢᴀʜ ᴀꜱɪꜱᴛᴇɴ ᴛᴀɴ ᴄʜᴇɴɢ ꜱᴀɴ, berkata serbuan ini dibuat selepas mereka mendapat laporan dari ibu bayi tersebut.
Pada ketika itu, ibu mangsa mahu mengambil anaknya dari rumah pengasuh pada jam 5.30 petang sebelum pengasuh berusia 65 tahun memberitahu bahawa cucu perempuannya yang berusia 14 tahun telah membawa lari mangsa (bayi perempuan) ketika dia sedang menunaikan solat.
Ibu mangsa kemudian bertanya kepada pengawal keselamatan dan dimaklumkan suspek mendukung mangsa dengan berjalan kaki dan kemudiannya menunggang motosikal. Ibu mangsa cuba menghubungi suspek namun tidak berjaya lalu terus membuat laporan polis.
Pihak polis berjaya menjejak suspek utama bersama teman lelakinya yang baru berusia 18 tahun termasuk rakan teman lelakinya juga berusia 18 tahun di sebuah pondok di Machang Bubok pada pukul 11.50 malam.
Berpandukan dengan tangkapan ini membawa pihak polis ke sebuah rumah di Kulim yang mana menjadi tempat bayi perempuan itu berada.
Siasatan mendapati suspek utama membawa bayi perempuan itu di pondok di Machang Bubok terlebih dahulu, sebelum bapa tiri kepada teman lelaki suspek berusia 30 tahun datang dengan memandu van kilang, kemudian mengambil mangsa (bayi perempuan) pergi ke sebuah rumahnya di Kulim.
Ketika serbuan di Kulim, bayi itu dijaga ibu kepada teman lelaki suspek yang berusia 43 tahun dan polis menahan kelima-lima mereka untuk siasatan selanjutnya.
Ibu syak anak mungkin dijual jika polis lambat
Ibu kepada bayi berusia sembilan bulan Farisha Amirah Zainal telah menceritakan sendiri keadaan dirinya ketika dapat tahu anaknya itu telah diculik oleh cucu pengasuhnya sendiri kepada Malaysia Gazette.
“Jantung macam nak luruh bila diberitahu anak saya dilarikan sekumpulan individu tapi kini saya bersyukur kerana bukan sahaja dia selamat malah polis turut berjaya mengesan suspek yang telah terlibat.”
Menurut Farisha, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh pengasuh yang juga jirannya itu bahawa cucu perempuannya sendiri telah melarikan anaknya itu.
“Memang macam nak luruh jantung bila saya dengar jiran saya (pengasuh) memaklumkan perkara sedemikian. Susulan itu, saya menelefon keluarga termasuk yang di kampung bagi memaklumkan kejadian sebelum suami saya pergi membuat laporan polis.” jelasnya lagi
“Sampai pukul 9 malam kami (saya dan suami) masih berurusan dengan pihak polis sebelum saya kuatkan hati pulang ke rumah untuk menunaikan solat”
“Selepas solat, tiba-tiba naluri hati saya kuat mengatakan anak kami akan kembali ke pangkuan semula. Susulan itu, saya siapkan kelengkapannya termasuk menyediakan susu serta pakaian dalam satu beg sebelum turun dan tunggu kehadirannya di pos pengawal pangsapuri kami”
Satu jam kemudian, Farisha dan suaminya dapat panggilan dari polis mengatakan yang mereka dah berjaya kesan suspek namun bayi tiada bersama suspek.
Walaupun begitu, naluri ibu ini kuat mengatakan yang dia bakal bertemu semula dengan anaknya.
Syukur sangat selepas 10 minit kami dapat panggilan mengatakan anak saya ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan selanjutnya.
“Memang bagaikan mimpi dan lembik lutut saya sebaik dapat memegang & peluk anak di hospital. Selalunya dengar cerita sahaja anak diculik tapi tak sangka kami sendiri lalui kejadian yang ngeri itu.
“Anak saya itu mungkin dijual kepada sindiket sekiranya pihak p0lis lambat mengesan suspek memandangkan bayi kami ditemui dalam sebuah van yang dipercayai dalam perjalanan ke sempadan negara jiran melalui negeri di Pantai Timur.”
Ekoran kejadian ini, Farisha yang trauma telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memilih menjaga anaknya sepenuh masa.
“Saya berasa sudah serik nak bagi orang lain jaga anak dan kami sekeluarga harap mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal agar kejadian yang sama tidak berulang kepada ibu bapa lain.”
Culik sebab c0mel
Bagaimanapun, siasatan awal ke atas suspek utama memaklumkan bahawa tujuan dia melarikan bayi tersebut adalah kerana dia sukakan budak itu kerana bayi terbabit terlalu comel.
Dalam pada itu, dia turut mendakwa bayi itu adalah anaknya hasil hubungan dia dengan teman lelakinya. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar, selain ia mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan bayi ataupun sebaliknya.
Kelima-lima suspek ini telah pun ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menculik.
Tambahan lagi, Farisha telah membayar sebanyak RM500 sebulan kepada nenek suspek utama untuk menjaga anak tunggalnya itu. Jirannya itu menjaga anaknya dan juga tiga kanak-kanak lain.
Sumber: Lobak Merah