KUALA LUMPUR: “Apa yang paling mengejutkan apabila salah seorang rakan artis bukan Muslim, iaitu Jasmine Suraya Chin menyatakan hasrat untuk hadir sama. Dia sendiri mahu datang sebab dia mahu tahu mengenal Islam.”
Demikian kata pengacara dan usahawan terkenal iaitu Hajah Noor Neelofa mengenai kehadiran pelakon Jasmine Suraya pada majlis ilmu, Hijrah Cinta bersama selebriti lain yang dianjurkannya baru-baru ini.
Neelofa, 33, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, dia terharu dan berbesar hati apabila pelakon itu menyuarakan hasratnya untuk menyertai majlis ilmu yang dianjurkan.
“Alhamdulillah rezeki dia berpeluang untuk menghadiri majlis itu. Saya sendiri berbesar hati menjemput dia. Rasa berbunga-bunga hati bila dia mahu sertai majlis itu.
“Dia juga adalah orang terakhir yang meninggalkan majlis itu. Ia juga adalah majlis ilmu pertama yang dia hadiri. Kebetulan pada penghujung majlis itu ustazah menyebut mengenai kisah orang bukan Muslim yang ada masalah keresahan (anxiety), dinasihatkan untuk berzikir pada Allah,” katanya.
Antara barisan selebriti lain yang hadir adalah Izara Aishah, Wan Sharmila, Ika Nabella, Diana Rafar, Linda Rafar, Zulin Aziz, Kaka Azraff, Bella Astillah, Anita Baharom dan Adriana Adnan.
Dalam masa sama, Neelofa berhasrat untuk mengadakan majlis ilmu itu untuk sebulan sekali.
“Saya ada pasukan di Pertubuhan Kasih Neelofa yang boleh membangunkan majlis dan memanggil ustaz atau ustazah dari dalam negara atau juga dari seberang. Jadi saya memanggil mereka ini untuk menjayakan majlis khas buat selebriti.
“Itulah misi kami, pada awalnya saya mengajak rakan selebriti dengan menghantar Whatsapp pada seorang demi seorang. Saya mahu mereka rasa dekat. Apabila habis saja satu majlis, mereka mahu datang majlis berikutnya. Jadi in shaa Allah saya akan cuba buat majlis ini secara bulanan,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan pelakon Jasmine Suraya Chin, 33, telah berkongsi mengenai keinginannya untuk mengetahui lanjut mengenai Islam sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Disebabkan itu, dia menghadiri majlis ilmu Hijrah Cinta yang diadakan Neelofa ini di mana menurutnya kehadiran itu sebenarnya dibuat secara senyap-senyap.
Sumber: Harian Metro